dinar2heaven

Khamis, 24 April 2008

PTPTN

Riba: Majlis fatwa diminta semak caj PTPTN

PUTRAJAYA 24 April - Majlis Fatwa Kebangsaan diminta menyemak caj tiga peratus Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) dikenakan ke atas pelajar yang membuat pinjaman bagi mengelakkan wujud unsur riba.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penjelasan daripada majlis itu kelak akan menyakinkan semua peminjam sekali gus menjawab segala spekulasi mengenai pembayaran balik yang dikatakan membebankan pelajar itu.

''Saya tidak ada masalah memanggil Majlis Fatwa untuk mengesahkan faedah yang dikenakan itu tidak mempunyai unsur riba.

''Bayaran tiga peratus itu adalah untuk caj perkhidmatan bagi menanggung kos pengurusan, kutipan dan penyelarasan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengajian Tinggi yang pertama sejak dilantik mengetuai kementerian itu.

Baru-baru ini, beberapa peminjam PTPTN menyuarakan rasa tidak puas hati kerana perbadanan itu mengenakan caj sebanyak tiga peratus daripada jumlah pinjaman yang perlu dibayar semula selepas mereka tamat pengajian di universiti.

Mohamed Khaled menegaskan, faedah-faedah lain yang dikenakan oleh perbadanan itu ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dan sehingga kini kerajaan telah membayar sebanyak RM450 juta bagi tujuan itu.

''Kalau kerajaan tidak buat apa-apa, kos yang dikenakan oleh PTPTN adalah lebih tinggi. Jadi, pelajar dan ibu bapa patut tahu semua faedah lain ditanggung oleh kerajaan,'' katanya.

Tambahnya, caj tiga peratus yang dikenakan oleh perbadanan itu adalah paling rendah berbanding tabung pinjaman lain.

''Sebagai contoh, Yayasan Tekun Nasional (Tekun) mengenakan faedah sebanyak lapan peratus manakala Bank Rakyat pula jauh lebih tinggi," katanya.

Sementara itu, mengulas perancangan projek kementerian itu di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), beliau berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mewujudkan satu unit khas bagi mengatasi masalah kelewatan pembinaan projek.

''Unit ini bertindak bagi menambah baik sistem kerahan JKR daripada segi pelaksanaan projek kerana ia membabitkan peruntukan besar dan projek besar.

''Setakat ini kementerian telah membelanjakan sebanyak 25 peratus daripada peruntukan pembangunan RM18 bilion untuk projek yang akan dilaksanakan untuk semua universiti, politeknik dan kolej komuniti negara ini," katanya.

1 ulasan:

Dinar2heaven berkata...

salam, kes riba dalam ptptn dah lama.cuma isu jarang didedahkan oleh media nasional kita.jika benar 3% charge yang dikenakan itu untuk kos pentadbiran dan lain2,saya rasa ia perlu jelas.sepatutnya dan wajarnya pihak kerajaan yang menanggung kos pentadbiran tersebut.sudah lah tak beri biasiswa tapi sekurang-kurangnya tanggung lah kos pentadbiran.mungkin kita dapat bertolak ansur dalam hujah kerajaan yang mengatakan wang yg diperuntukan dalam PTPTN itu akan "rolling" untuk biaya kewangan pemberlajaran anak-anak kita pula.

Special Offer!